RECENT POST

USRAH DAN KEPENTINGAN DALAM JAMAAH

MUQADIMAH

Proses tarbiyyah Islamiyyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu. Usrah adalah medan di mana ahlinya menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat ukhuwwah al-islamiyyah. Ia membawa maksud penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.

Penekanan terhadap unsure-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai system yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjemaah. Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (petugas) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kepentingannya tidak boleh kita nafikan.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan diatasi oleh kebatilan yang kemas. Justeru, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan jamaah.PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib/ah perlu memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapid an kemas dan jangan sampai kepada peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Usrah janganlah hanya dijumudkan dengan perbincangan teks sahaja tetapi ianya juga boleh diluaskan dengan bentuk perbincangan, rehlah, ziarah, riadhah, majlis qiamullail dan sebagainya.

Usrah mempunyai cirri yang membezakannya dari nizam al-tarbiyyah yang lain diantara cirri-citi tersebut ialah:
1. Usrah hendaklah bersifat mutawasil (berterusan). Usrah yang berkesan mestilah berterusan dan pemutusan usrah akan mengakibatkan kurangnya penghayatan dan perkembangan tarbiyyah dikalangan anggotanya.
2. Merangkumi keseluruhan ahli samada pimpinan, pengikut, mahupun pekerja.
3. Mempunyai perancangan (al-tahhtit) yang rapi dalam semua sudut.
4. Kesungguhan semua pihak yang terlibat samada nuqoba’ manupun ahli.
5. Antara keberkesanan sesuatu usrah itu akan dapat dilihat sejauh mana persoalan ini dapat dilihat dan dijawab dengan sempurna:
Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam.
Sejauhmana pula konsep al-ta’wun (bekerjasama) di kalangan para ahli dalam membantu proses penghayatan Islam.
Sejauh mana ikatan ukhuwwah dan amal jamaie dapat dibentuk dan sejauhmana pula perlaksanaannya dalam bentuk amalan.

TUJUAN DAN MATLAMAT USRAH
1. Memberi kefahaman yang benar dan jelas terhadap tasawwur Islam kepada anggota.
2. Meningkatkan penghayatan ‘amal Islami dan menghidupkan rasa tanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan kemuliaan ajaran Islam secara fardiyy atau jamaie
3. Menjalin dan mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan persaudaraan dan memupuk semangat bertindak dan bekerja secara jamaah.
4. membina ‘aqliyyah jamaiyyah di kalangan anggota agar mereka sentiasa memberi keutamaan kepada gerak kerja secara jamaie dan bertindak mengikut keputusan jamaah.
5. menggiat dan menyelaraskan usaha untuk mempelajari selok-belok perjuangan dari pengalaman gerakan Islam seluruh dunia.
6. mendidik, memupuk bakat serta mengeluarkan aktivis-aktivis yang benar-benar mampu dan teguh pendirian serta sihat tubuh badan, sempurna dalam pemahaman ilmu serta akhlaq.
7. memastikan bahwa yang bakal menempati saff pimpinan ialah orang-orang yang layak, jujur dan ikhlas. Memastikan bahawa yang memegang pimpinan adalah orang yang layak ditempat yang munasabah.
8. Memastikan bahawa barisan perjuangan tidak dimasuki oleh pemikiran yang sumbang atau musuh.
9. Berusaha meningkatkan bentuk penyusunan organisasi yang piawai atau mampu mnghadapi tahap-tahap perjuangan tanpa diserapi oleh anasir pemecah yang menggugat harakah.

CIRI-CIRI NAQIB
Secara ringkas disertakan sekali cirri-ciri naqib yang memimpin usrah:
1. Mempunyai kefahaman yang baik dalam agama.
Naqib perlu mempunyai asas kefahaman Islam yang mendalam terhadap Tasawwur Islam dan memahami Waqi’ (jamaah/ harakah) serta memahami marhalah dakwah. Setidak-tidaknya naqib biarlah dari kalangan mereka yang mempunyai pengalaman haraki, serta ilmu terhadap asas Islam (tasawwur Islam)
2. Iman yang mendalam
Naqib perlu menjadi contoh ikutan kepada ahli-ahli usrah. Lantaran itu ia mestilah mempunyai keimanan yang kukuh, keyakinan, tawakkal serta memelihara ibadat-ibadat fardiyy dan menjaga sunnah-sunnah Nabi saw.
3. Bersifat amanah
Naqib perlu menyedari bahawa ia memikul amanah yang tinggi iaitu membimbing ahli-ahli supaya menjadi golongan yang terpilih di samping merasakan bahawa dialah orang yang bertanggungjawab memelihara agama.
4. Keikhlasan yang tinggi.
Keikhlasan adalah perkara paling penting dalam mana-mana perkara yang hendak dilakukan. Namun perkara yang terlebih penting adalah ikhlas kepada naqib-naqib dengan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran serta sanggup berkorban. Ia perlu mengorbankan lebih masa, perasaan, masa kerja, keluarga, harta-kekayaan, dan berbagai kepentingan lain untuk cita-cita Islam.
5. Beramal dengan ilmu.
Naqib perlu beramal dengan ilmu dan dikenali sebagai orang yang beramal dengan ilmunya. Ini akan memberikan kesan yang baik ke atas anggota-anggota jamaah yang lain yang menjadi contoh yang baik.
6. Syakhsiah yang terpuji.
Naqib dikenali sebagai seorang yang memiliki akhlak dan syakhsiyah yang baik, menepati janji, jujur dan berbagai lagi akhlak yang mesti dimiliki. Ini kerana naqib adalah sebagai pembimbing, pendidik, guru dan seorang sahabat yang sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian umum.
7. Pergaulan yang baik
Hubungan naqib dengan ahli usrahnya adalah hubungan yang berterusan, dan bukan terhad hanya di dalam usrah semata-mata. Naqib mestilah pandai bergaul dengan anggot usrah yang lain serta mewujudkan kemesraan dan kekeluargaan di kalangan anggota usrah.

MANHAJ USRAH
1. Mestilah ditegaskan bahawa islam dan ajarannya bersumber dari kitab suci al-Qur’an dan hadith Nabi saw sebagaiimana yang difahami dan diambil dari ulama’ yang muktabar.
2. Memberi penekanan terhadap tasawwur Islam dan penekanan bahawa Islam adalah satu system hidup (Nizamul hayat) atau ad-din yang sempurna.
3. Bahan-bahan usarh, hendaklah mengambil kira marhalah yang sepatutnya dilalui oleh ahli-ahli usrah.
4. Manhaj Usrah perlu mengandungi Tasawwur Aqidah yang kemas dan menyeluruh yang menjadi teras kepada perjuangan Islam.
5. Kandungan Usrah perlulah yan dapat memandu dan menyumbang kea rah pembentukan peribadi atau syakhsiah muslim dan pendakwah.
6. Kandungan usrah mestilah mengandungi perngatan untuk memelihara Islam sama ada secara fardiyy atau jamaie’.
7. Memberi penekanan terhadap ibadah-ibadah khusus dan amalan-amalan yang membina kerohanian seperti membanyakkan zikir, wirid mathurat, doa-doa, membaca al-Qur’an, menziarahi kubur dan sebagainya.
8. Kandungan Usrah mestilah mempunyai unsur-unsur pembentukan fikrah dakwah Harakah, dan siasah secara seimbang.
9. Menekankan panduan-panduan latihan kerja secara jamaie, seperti tanggungjawab memelihara amanah, berkorban, mematuhi arahan-arahan dan memberi wala’ dan ketaatan kepada pimpinan jamaah.
10. Menyediakan ruang-ruang buat ahli-ahli berinteraksi sesama sendiri bagi menguatkan ukhwah dan sanggup bermuhasabah, memperbaiki kelemahan, dan kekurangan yang ada dikalangan anggota dengan cara-cara yang baik.

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN / KEGAGALAN USRAH
FAKTOR YANG BERPUNCA DARI NAQIB:
a. Tidak memahami atau kurang memahami tujuan dan matlamat usrah dalam rangka Tarbiyyah.
b. Tidak memahami kandungan dan skima tarbiyyah sesuia dengan marhalah mad’u dan sasarn.
c. Kaedah penyampaian Usrah yang tidak sesuai.
d. Naqib tidak memberikan tumpuan dengan ahli-ahli usrah.
e. Tidak mengenal mad’u.
f. Para Naqib tidak ada Fikrah Dakwah dan Harakah.
g. Tidak membuat persediaan dan Kajian terhadap bahan-bahan Usrah.
h. Tidak segera menyelesaikan masalah.
i. Tidak memahami politik dan isu-isu semasa.
j. Naqib tidak mematuhi arahan jamaah.
CIRI-CIRI USRAH YANG BERJAYA
1. Majlis yang terancang dan berterusan
2. Mempunyai ketua yang bertanggungjawab.
3. Mempunyai bilangan ahli yang kecil.
4. Keahlian usrah merangkumi semua peringkat.
5. Usrah sebagai saluran melahir dan membentuk pimpinan
Read more

TASAWWUR ISLAM

1. PENGERTIAN ISLAM.

Islam adalah sebagai Ad-Din yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang terkandung di dalamnya aqidah, amalan-amalan dan hokum-hukum berhubungan dengan rohani dan jasmani, fardiyyah dan jamaiyyah, agama dan politik dan segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Secara khususnya Islam sebgaimana yang dikemukakan oleh ulama-ulama’ berdasarkan kepada Al-Qur’an dan AsSunnah adalah:-

Islam bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah swt serta mentaatiNya yang lahir dari kesedaran dengan tidak dipaksa kerana ketundukan yang seperti itu tanpa perhitungan pahala dan dosa.

Firman Allah swt:-

“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah padahal kepadaNya menyerah diri segala apa yang ada dilangit dan bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan”. (Surah Ali Imran ayat 83)

Sesungguhnya tanda bukti penuh ketundukan kepada Allah swt ialah reda menerima agamaNya yang diiringi pula dengan penuh kesedaran. Ini adalah lantaran Islam menurut pengertian ini adalah merupakan agama yang diredai Allah, agama yang diwahyukan kepada Rasul-Rasul a.s. untuk disampaikan kepada manusia.

*

Islam adalah peraturan (an Nizam), perundangan yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh Rasulullah saw dripada Allah swt, guna disampaikan kepada manusia serta menyatakan apa yang mengenai orang yang mengikut dan menentang sama ada dosa dan pahala.

Firman allah swt:

“Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam maka dia tidak akan diterima daripadanya dan diakhirat nanti dia termasuk dikalangan orang-orang yang rugi” (Surah Ali Imran ayat 85)

*

Islam adalah kumpulan peraturan yang diturunkan oleh Allah swt kepada RasulNya saw, yang terkandung di dalamnya peraturan-peraturan yang berbentuk aqidah, akhlak, muamalat dan segala berita yang disebut di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah perintah untuk disampaikan kepada manusia.

Firman Allah swt:

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintah itu) beerti kamu tidak menyampaikan risalah Allah dan Allah memelihara kamu dari gangguan manusia”

*

Islam ialah keseluruhan Ad-Din yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw yang terkandung di dalamnya perkara-perkara yang berhubung dengan aqidah, amalan dan hokum yang disertai dengan kepatuhan secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah swt: “Bahkan sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah sedangkan dia berlaku baik, maka baginya ganjaran di sisi Tuhannya dan tidak ada takut bagi mereka dan mereka juga tidak berdukacita” (Surah al-Baqarah ayat 112)

*

Islam dengan makna menyerah diri secara zahir sahaja sekalipun dengan tidak ada iman di dalam hati. Islam yang seperti ini tidak memberi apa-apa faedah kepada penganutnya.

Firman Allah swt: “orang Arab Badwi berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah kepada mereka: “Kamu belum beriman”, tetapi katakanlah: “Kami telah Islam, kerana iman itu belum masuk ke dalam hati-hati kamu”. (Surah Al Hujurat: ayat 14)

*

Islam merupakan jawapan yang tepat kepada tiga pertanyaan yang dikemukakan kepada setiap manusia, iaitu:

i) -dari mana ia datang?

ii) -mengapakah ia dijadikan?

iii)-kemanakah ia dikembalikan?

Jawapan soalan satu adalah terkandung didalam Firman Allah surah Al Hajj ayat 5, Surah Al Mukminun ayat 12-14, dan surah AtTariq ayat 5

Jawapan soalan dua “mengapakah ia datang” terkandung didalam surah AzZariyat ayat 56.

Jawapan untuk soalan tiga “kemanakah ia dikembalikan” ada di dalam Al Qur’an Surah Al Insyiqaq ayat 6, Surah ar Ruum ayat11, Surah AzZumar ayat 7, Surah An Najm ayat 42, dan Surah al Alaq ayat 8.

*

Islam merupakan penghayatan yang sebenar bagi manusia; merupakan cahaya petunjuk dalam kehidupan; merupakan ubat yang mujarab untuk mengatasi; memperbaiki masyarakat dan jalan yang sebenar yang tidak mungkin sesat kepada sesiapa yang melaluinya.

2. TASAWWUR ISLAM YANG SEBENAR.

Islam sebagai Ad-Din yang lengkap dan sempurna yang akan membicarakan segala perkara dalam kehidupan manusia dan tidak ada sedikit kekurangan dan kecacatan dalam ajarannya. Oleh itu Islam merangkumi aspek aqidah, ibadah, syariah, akhlak, kebudayaan, ilmu pengetahuan, ekonomi, politik, dakwah, pergaulan, jihad, dan bermacam lagi. Disini diselitkan beberapa takrif berkenaan dengan tasawwur Islam tersebut

*

Aqidah

Ialah kepercayaan kepada Allah yang tersimpul kukuh di dalam jiwa manusia tanpa ada sedikit keraguan terhadap kesemprnaan ajaran Islam. Inilah dasar dan pokok ajaran Islam dan seruan yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt:

Bermaksud:“sesungguhnya kami telah mengutuskan pada setiap umat seorang rasul supaya mereka menyembah Allah dan menjauhi taghut” (Surah An Nahl ayat 36)

*

Ibadah

Satu ketundukan dan pengabdian kepada Allah yang esa dalam seluruh aspek kehidupan, dalam erti kata yang lain seluruh pekerjaan dan amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan mengikut syariat Islam, maka ia dinamakan ibadah. Firman Allah swt:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengbdikan diri kepadaKu” (Surah Az Zariyat ayat 56)

*

Syariah

Iaitu perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia dan tidak boleh diubah dengan apa cara sekalipun. Syariat Islam memelihara lima prinsip; iaitu agama, nyawa, maruah, akal dan harta.

*

Akhlak

Imam Al Ghazali menyatakan bahawa akhlak ialah “bawaan sifat jiwa yang tersembunyi atau melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu berfikir terlebih dahulu” Berdasarkan definisi inilah Imam Al Ghazali menyatakan bahwa akhlak itu ialah sifat-sifat yang telah menjadi tabiat seseorang. Ia bukan sesuatu yang bersifat takalluf (sesuatu yang dibuat-buat) tetapi telah menjadi perangai dan miliknya yang sebenar bukan ia berpura-pura berperangai baik di hadapan orang pada masa-masa tertentu. Akhlak ialah satu ajaran daripada Islam, untuk memperbaiki tingkahlaku manusia dan ia mempunyai tempat yang tinggi dan pengaruh yang besar dalam gerakan dakwah kerana akhlak yang baik merupakan besi magnet kepada Islam.

*

Kebudayaan

Islam mengikitraf kebudayaan asalkan ia berlandaskan kepada Islam. Di antara kebudayaan yang berlandaskan Islam adalah cara berpakaian, Islam tidak menetapkan cara khusus berpakaian kerana masing-masing kaum mempunyai cara berpakaian tersendiri namun kewajipannya adalah menutup aurat bagi lelaki dan perempuan yang tidak menampakkan susuk tubuh serta fitnah yang lebih buruk. Kaum lelaki dilarang memakai pakaian serupa perempuan begitu jugalah sebaliknya.

*

Ilmu pengetahuan

Islam datang dengan menghapuskan kejahilan manusia dan digalakkan supaya menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan mendapat tempat yang tinggi di sisi Islam dan para penuntutnya dianggap mulia. Ayat al-Qur’an yang pertama menyuruh manusia supaya membaca (menuntut ilmu pengetahuan) dan banyak lagi dalil-dalil yang meminta umat Islam supaya belajar dan menuntut ilmu.

*

Ekonomi

Ekonomi adalah penting untuk kehidupan manusia, lantaran itulah Islam mengiktiraf dan menerima ekonomi sebagai satu usaha meningkatkan taraf hidup manusia. Ilmu yang berkaitan dengan ekonomi di dalam Islam telah banyak diperluaskan oleh ulama’ yang pada dasarnya Allah menyebut tentang halalnya jual beli dan diharamkan riba’, begitu juga diwajibkan mengeluarkan zakat, beerti ia menyentuh perihal ekonomi.

*

Politik

Manusia adalah makhluk yang perlukan hubungan social (social kontrak), justeru itu ia memerlukan bimbingan daripada pemimpin-pemimpin. Rasulullah saw telah meninggalkan kita dengan meninggalkan soal kepimpinan (khilafah) sebagai sesuatu yang penting di dalam membangunkan umat. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan sesiapa yang menganggap politik bukan sebahagian daripada Islam beerti ia telah memisahkan agama dari landasan yang sebenarnya. Inilah fahaman ideology yang ditanam oleh musuh-musuh Islam supaya dengannya umat Islam akan terpisah secara berjuzsuk-juzuk dari amalan Islam yang sebenar.

*

Dakwah

Dakwah ialah menyeru, mengajak manusia kepada pengabdian kepada Allah, ia adalah tugas mulia yang amat penting dan inilah tugas para Nabi dan rasul di utuskan ke muka bumi oleh Allah swt. Perbincangan mengenai dakwah akan dibincangkan dalam topik yang akan datang.

*

Pergaulan

Manusia adalah makhluk yang memerlukan sosial untuknya berinteraksi dengan manusia lainnya. Oleh kerana itulah Allah menjadikan mansuia ini berpasang-pasang supaya manusia berasa damai dan tenteram dalam kehidupan. Dalam kehidupan bermasyarakat, Rasulullah banyak mengajar umatnya bagaimana tatacara hidup bermsyarakat yang sebenarnya seperti menghormati orang tua, memuliakan jiran, menziarahi orang lain, memuliakan tetamu, dan sebagainya.

*

Jihad

Perkataan jihad berasal dari kata “jahada” yang bermaksud kesungguhan. Menurut syarak ialah pengerahan tenaga dari seorang Muslim dalam mempertahanakan dan menyebarkan Islam kerana menuntut keredhaan Allah. Kerana itu jihad adalah satu kalimah yang besar maknanya dan tuntutannya juga amat besar dipikul oleh umat Islam. Jihad dalam konteks yang luas boleh difahami dan diaplikasikan dalam pelbagai cara seperti lisan, berjihad menentang hawa nafsu, berjihad dengan peperangan, dan pelbagai lagi.

3. SYARIAT ISLAM : PENGERTIAN DAN CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN

Takrif Al-Syariah Al-Islamiyyah

Syari’ah dalam bahasa Arab beerti aliran (almazhab) dan jalan yang lurus. Syariah Islamiyyah menurut istilah ialah hokum-hukum yang disyara’kan oleh Allah s.w.t. untuk hambaNya, samada yang berkaitan dengan aqidah, ibadat, akhlak, muamalat, dan system-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Ia juga diertikan sebagai saluran air yang mengalir yang menjadi sumber minuman. Hokum-hukum ini dinamakan Syariah kerana lurus dan tidak menyimpang sistemnya dari matlamatnya, seperti landasan yang lurus tidak ada bengkang-bengkok. Berdasarkan penjelasan di atas maka syariat Islam Islam dari segi istilah syara’ adalah “semua hukum yang diciptakan oleh Allah untuk hambanya sama ada hokum-hukum ini diperundangkan melalui al-Qur’an atau Sunnah Nabi saw dalam bentuk perkataan, perbuatan atau perakuan baginda”.

Ciri-ciri keistimewaan Syariah Islamiyyah

Rabbaniyyah

Ianya membawa erti bahawa hukum dan peraturan Syariah ini dari Allah swt dan bukan ciptaan manusia. Beerti sumber Syariah Islamiyyah ialah Allah swt yakni wahyuNya kepada Nabi Muhammad saw dengan lafaz dan makna, iaitu al-Qur’an, atau dengan makna tidak lafaz iaitu as-Sunnah. Ciri ini membezakannya sama sekali dari semua perundangan duniawi kerana ia bersumberkan dari manusia sedangkan Syariah Islamiyah sumbernya pencipta manusia itu sendiri.

Natijah Syariah Islamiyyah:

i)-Prinsip-prinsip Syariah dan hokum-hakamnya bersih dari sebarang rupa bentuk kezaliman, kelemahan dan menurut hawa nafsu kerana penciptanya ialah Allah yang mempunyai ksempurnaan mutlaq. Undang-undang duniawi pula mempunyai kelemahan kerana ia lahir dari manusia yang memiliki kelemahan seperti kejahilan, penyelewengan, kezaliman, kelemahan, kekurangan, terpengaruh dengan hawa nafsu, alam persekitaran, kaum atau bangsa, dan sebagainya.

ii)-Hukum-hukum Syara’ mempunyai kehebatan dan kehormatan dalam jiwa orang-orang yang beriman dengannya ama ada pemerintah mahupun yang diperintah, justeru kerana ianya dari Allah dan pasti memiliki sifat Ad-Din. Atas dasar inilah ia tetap dihormati dan dipatuhi dengan rela hati yang didorongi oleh jiwa yang bersih dan keimanan yang mendalam tanpa ada unsur paksaan.

Balasan Duniawi dan Ukhrawi

Balasan duniawi ini ada yang bersifat kanun jenayah dan ada yang dikatakan kanun sivil sepertimana juga dengan undang-undang buatan manusia tetapi skopnya lebih luas dari balasan yang terdapat dalam undang-undang buatan manusia, justeru undang-undang Islam itu mencakupi seluruh urusan individu termasuklah soal-soal keagamaan dan akhlak, tidak sepertimana undang-undang buatan manusia. Balasan ukhrawi adalah dikenakan ke atas setiap perlanggaran hokum syara’ sama ada ia amalan had mahupun amalan anggota lahir, yang berkaitan dengan muamalat maliyyah (sivil) mahupun jenayah dan sama ada yang bersalah itu dikenakan hukuman keseksaan atau tidak, selagi tidak bertaubat nasuha dan mendapat penghalalan hak dari orang tertentu.

Alamiyyah dan Umumiyyah

Syariat Islam menjadi keistimewaan dengan ciri ini, ia menjadi rahmat untuk sekalian alam, menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat. Ia bukan perundangan untuk satu jenis manusia, Negara, bangsa dan kabilah tertentu sahaja, bahkan ia untuk manusia di mana jua mereka berada. Islam meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara seperti:

a) Dharuriyyat : iaitu kehidupan manusia tidak akan wujud dengan ketiadaannya. Perkara-perkara dharuriyyat ini perlu untuk menjaga akal, agama, jiwa, keturunan dan harta.

b) Hajiyyat : perkara yang diperlukan manusia untuk hidup. Namun manusia hidup tanpa kewujudannya.

c) Tahsiniyyat : iaitu perkara yang diperlukan manusia untuk hidup lebih mulia. Contohnya Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara penutupan mengikut tempat dan suasana. Ia lebih mirip kepada unsure kesempurnaan kemewahan.

Kekal.

Syariat islam kekal sepanjang zaman tanpa dinasakh dan tiada perubahan. Ia merupakan Syariat Islam terakhir dan penutup syariat-syariat samawi. Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir, tiada Nabi lagi selepas baginda. Kesejagatan Syariat Islam, umum untuk seluruh manusia dan tidak menerima sebarang pembatalan dan tukar ganti, sudah pasti segala peraturan dan hokum-hakamnya itu dapat mencapai kepentingan manusia sepanjang zaman dan disemua tempat dan mampu memenuhi segala keperluan yang dihajati oleh manusia setiap masa, dijadikannya sebagai penutup semua syariat, peraturan, prinsip dan hokum-hukumnya sesuai dilaksanakan untuk semua masa dan tempat.

Syumul

Syariat Islam itu suatu system yang syumul mencakupi semua urusan hidup yang menggariskan manusia jalan iman, menerangkan dasar-dasar aqidah, menyusun hubungan manusia dengan Tuhannya, memerintah bersihkan jiwa, dan mengatur hubungan manusia sesama manusia. Kesyumulan Islam ini dapat dilihat pada 3 kelompok:-

i)-Hukum-hukum yang berkaitan dengan aqidah seperti beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perbahasan hokum-hukum aqidah ini dan kajiannya terdapat dalam ilmu kalam atau Tawhud.

ii)-Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak seperti wajib bercakap benar, amanah, menyempurnakan janji, haram berdusta, khianat, mungkir janji. Hokum-hukum akhlak ini kajiannya adalah dalam ilmu akhlak atau Tasawwuf.

iii)-Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkataan dan perbuatan manusia dalam hubungan mereka dengan yang lain. Hokum amali ini dinamakan dengan al-fiqh, perbincangannya dalam ilmu al-Fiqh.

Ia terbahagi kepada 2 bahagian yang besar iaitu:

a)-Ibadat seperti solat, puasa, zakat yang mana ia bertujuan mengatur hubungan di antara individu dengan Tuhannya.

b)-Adat dan muamalat yang bertujuan untuk mengatur hubungan di antara sesama manusia.

Kemanusiaan

Syariat Islam bersifat kemanusiaan sejagat kerana ianya diturunkan oleh Allah swt untuk seluruh manusia dan rahmat Allah kepada mereka sepanjang zaman dan di semua tempat.

Keadilan mutlak

Keadilan bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya menurut hitungan sebenarnya daripada Allah. Adalah menjadi tujuan Islam itu menegakkan keadilan mutlak dikalangan manusia seluruhnya dengan menegakkan persaudaraan dikalangan mereka, memelihara kehormatan agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta benda dengan bermatlamat dunia dan akhirat.

TUJUAN SYARIAT ISLAM.

1. MEMELIHARA AGAMA – Allah menghukum orang yang menukar agama (murtad) dengan hukuman bunuh sebagai balasan demi menjaga agama Allah yang agung ini sentiasa terpelihara bukan untuk dipermainkan. Allah telah menerangkan di dalam Al-Qur’an:

“Dan barangsiapa dari kamu yang berpaling daripada agamanya, lalu ia mati padahal ia tetap kafir, maka gugurlah amal-amal mereka di dunia dan akhirat. Dan mereka akan jadi ahli neraka yang mereka (akan) kekal di dalamnya” (Al Baqarah : 217)

2. MEMELIHARA AKAL – Allah mengharamkan benda-benda yang memabukkan kerana hendak memelihara akal manusia. Kita dapat perhatikan orang-orang yang mabuk disebabkan bahan-bahan tersebut perangainya sama seperti binatang mereka sanggup melakukan sesuatu yang tidak baik tanpa perasaan malu. Islam telah menjelaskan bahawa arak adalah ibu segala yang keji dan kotor. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Arak adalah ibu segala kejahatan”

Islam menghukum kepada mereka yang sabit melakukan kesalahan dengan 40 kali sebat berdasarkan kepada hadis Nabi saw:

“Bahawasanya Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat” dan abu baker menyebat 40 kali dan Umar menyebat 80 kali”

3. MEMELIHARA NYAWA – Islam telah menetapkan bahawasanya sesiapa yang menghilangkan nyawa manusia lain akan dikenakan hukuman bunuh balas. Ini beerti bahawa qisas terhadap seorang adalah perlu untuk memelihara keselamatan hidup (nyawa) orang lain, dengan ini akan memberi pengajaran yang berkesan kepada sesiapa sahaja yang berani melakukan perbuatan tersebut.

4. MEMELIHARA HARTAHarta perlu dipelihara dengan baik, maka Allah mensyariatkan supaya mereka yang mencuri harta dikenakan hukuman apabila mempunyai syarat-syarat dan bukti yang sahih. Oleh kerana itu balsannya adalah dipotong tangannya apabila syarat-syaratatau bukti-bukti telah mencukupi bagi si pencuri tersebut. Inilah keadilan Islam supaya manusia itu sentiasa menghormati harta atau hak orang lainnya.

5. MEMELIHARA KETURUNANIslam menjamin keselamatan ummah dan keturunan pemeluknya. Untuk melangsungkan zuriat manusia di dunnia ini maka disyariatkan perkahwinan. Perkahwinan juga merupakan satu saluran yang sah bagi memenuhi naluri manusia. Justeru itu Islam mengharamkan sama sekali hubungan jenis tanpa mengikut saluran yang sah di sisi syarak. Hukuman yang setimpal dikenakan kepada mereka yang melakukan jenayah tersebut adalah 100 kali sebatan bagi yang belum berkahwin manakala yang sudah berkahwin direjam dengan batu yang sederhana sampai mati. Ini berdasarkan kepada Firman Allah swt :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hokum Allah swt, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” (An-Nuur ayat 2)

SUMBER PERUNDANGAN ISLAM

Dalil-dalil sumber perundangan Islam:-

*

Dalil yang disepakati oleh semua orang Islam iaitu Al-Qur’an dan As Sunnah.
*

Dalil yang disepakati oleh jumhur muslimin iaitu Ijma’ dan al Qiyas.
*

Sumber yang berlaku perbezaan pendapat dikalangan para ulama’, hatta dikalangan para ulama’ yang beramal dengan konsep qiyas. Bahagian ini merangkumi al-urf, al-istishab, al-istihsan, al-Masalih al-Mursalah. Syar’u man Qablana dan Mazhab al-Sahabi di mana sebahagian ulama’ mengambil ia sebagai sumber hokum sedangkan lain tidak menganggap ia sebagai hokum.

i)-Al-Qur’an

Ta’rif Al-Qur’an dalam bahasa Arab yang bermaksud: “ialah lafaz dalam bahasa Arab diturunkan kepada Nabi Muhammad saw yang dapat melemahkan dengan sesuatu surah, dipindahkan dengan jalan mutawatir, bacaannya merupakan amal ibadah”

Petunjuk ayat-ayat al-Qur’an Nas-nas Al-Qur’an terbahagi kepada 2 perkara:

a)-Dalil yang merupakan nas yang terang. Dalil-dalil ini tiada berkehandakkan penjelasan atau huraian yang lain lagi. Contohnya dalam Firman Allah swt:

“Dan bagimu (suami) separuh dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak” (Surah An Nisa’ ayat 12)

b)-Dalil yang berupa hukum mumjal, am, musytarak (bersekutu). Ayat yang seperti ini berkehendakkan kepada penerangan hadith. Hadithlah yang menentukannya kepada maksud ayat tersebut.

Contoh ayat:

“Dirikanlah olehmu akan solat” (An nur ayat 77)

Ayat ini mumjal kerana ia tidak menerangkan cara atau peraturan solat, syarat atau rukunnya. Untuk mengetahui perkara ini perlu kita mengambil dalil dengan hadith Rasulullah saw:

“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”

PERANAN AL QUR’AN

1.

sebagai perundangan yang menjadi dasar hokum Islam yang sesuai dijalankan pada bila-bila masa dan segenap tempat
2.

al-qur’an menjadi petunjuk kepada seluruh manusia daripada kekufuran kepada hidayah.
3.

Sebagai khabar gembira kepada orang yang mentaati perintahnya dan amaran keras bagi orang yang melampaui batas.

ii)-As-Sunnah

Dari segi bahasa bermaksud perjalanan, perlakuan, amalan method atau cara hidup. As- Sunnah juga bermaksud membuka/merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk.Dari segi istilah apa-apa yang lahir daripada baginda Nabi saw sama ada perkataan atau sifat kejadian atau akhlak atau sirah (sejarah) sama ada sebelum diutuskan Nabi atau selepas diutuskan Nabi menjadi rasul. Sunnah pada istilah ahli-ahli Usul Fiqh iaitu apa yang diambil daripada Nabi saw daripada perkataan, perbuatan atau perakuan. Ini dapat menyimpulkan bahawa Sunnah terbahagi kepada 3 bahagian:

a)-Sunnah Qauliyah (perkataan) yang juga dinamakan hadith dan al-Khabar. Contohnya sabda Nabi saw:

Ertinya : “sesungguhnya segala macam amalan itu mengikut niatnya”

b)-Sunnah Fikliah (perbuatan) seperti solat yang ditunjukkan oleh Nabi saw sepertimana Sabda baginda:

Ertinya : “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat”

c)-Sunnah Taqririyyah (pengakuan) iaitu apabila Nabi saw melihat sesuatu tingkahlaku atau mendengar satu pertuturan para sahabat tetapi baginda tidak mengingkarinya, misalnya seperti pengakuan Nabi terhadap para sahabat yang memakan Himarulwahsyi (keldai liar).

iii)-Ijma’

Takrif Ijma’ dalam bahasa Arab:

Ertinya: “Persepakatan ulama’ mujathidin daripada umat Nabi Muhammad saw terhadap sesuatu hokum syara’ pada sesuatu masa selain daripada zaman baginda” Makna (ittifak) ialah ijmak atau sepakat, sama ada dalam bentuk I’tiqad atau kata atau perbuatan atau kelakuan.

Makna “Mujtahidin” takrif ini akan mengeluarkan orang awam, kerana biasanya mereka tidak mempunyai dalil atau sandaran. Dan mengeluarkan ijma’ sebahagian daripada ulama’ mujtahidin, kerana jaminan ‘Ismah hanya kepada ijma’ semua ulama’ mujtahidin. Sebenarnya Ijma’ mulai muncul sejak zaman sahabat di mana Abu Bakar ketika dikemukakan dengan sesuatu masalah, baginda akan menyelidikanya di dalam Al-Qur’an dan terus menghukum jika terdapat di dalam Al-Qur’an; tetapi sekiranya tiada didapati di dalam al-Qur’an beliau akan menyelidiki pula di dalam sunnah Rasulullah, jika ada akan dihukum menurut as-Sunnah, jika tiada beliau akan mengumpul para sahabat untuk bermesyuarat mengenai masalah tersebut. Kaedah persetujuan dalam menentukan hokum melalui mesyuarat ini dinamakan sebagai ijma’

Syarat-Syarat Ijma’

1.
1.

Para ulama’ mujtahidin bersifat adil dan sentiasa menjauhi perbuatan bid’ah.
2.

Semua ulama’ mujtahidin mengeluarkan pendapat yang serupa dalam satu zaman.
3.

terdapat beberapa ulama’ mujtahidin. Kalaulah kebetulan hanya seorang ulama’ mujtahidin sahaja dalam zaman itu pendapatnya tidak berupa ijma’
4.

Hukum yang diijmakkan adalah hokum syara’.
5.

Tiada seorang ulama’ mujtahidin menarik balik pendapatnya.

iv)-al-Qiyas

sebagai menerangkan hokum sesuatu perkara yang tidak terdapat didalam nas, dihubungkan dengan perkara-perkara yang telah diketahui hukumnya dengan nas yang terdapat di dalam al-Qur’an dan As-Sunnah. Contohnya, seperti diharamkan memukul kedua ibu bapa dinisbahkan dengan haramnya si anak, berkata (ah) kepada keduanya. Takrif dalam bahasa Arab:

Ertinya : “Ialah persamaan antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain pada illat hokum syarak. Illat ini tidak begitu mudah faham dari dalil hokum itu semata-mata berpandukan fahaman bahasa.” Dari takrif di atas, dapat difahami bahawa qias mempunyai empat rukun iaitu:

1.

Asal iaitu tempat hokum yang sabit dengan dalil al-Qur’an atau hadith atau ijma’ seperti arak yang telah sabit hukumnya dengan al-Qur’an.
2.

Hukum Asal: iaitu hokum syarak yang sabit dengan dalil yang hendak diluaskan kepada tempat lain seperti hokum haram arak.
3.

Furuk: iaitu tempat dan hukumnya tidak ditegaskan dalam al-Qur’an atau hadith atau ijma’.
4.

Illat: iaitu suatu sifat yang serupa sebab atau mewujudkan hokum asal yang serupa dengan illat furuk seperti sifat arak dan tuak yang boleh memabukkan.





Read more

SYEIKH DR. WAHBAH AZ-ZUHAILI

Seorang ulamak dari Syiria. Dilahirkan di satu daerah di Damsyiq pada tahun 1932. Pengajian menengahnya di Syria, kemudian ke peringkat Universiti di al-Azhar (Mesir). Memperolehi Ijazah ‘Aliyah (B.A) di al-Azhar pada tahun 1956 dalam bidang Syari’ah Islam.

Kemudian menyambung pengajian ke peringkat M.A (tahun 1959) dan Phd (tahun 1963) di Universiti Kaherah (Cairo University). Sejak selesai Phd (tahun 1963) beliau menjadi pensyarah di Universiti Damsyiq dan pada tahun 1975 dianugerahkan gelaran Profesor. Beliau merupakan pakar dalam Ilmu Fiqh, Usul Fiqh dan Fiqh al-Muqaran (Fiqh Perbandingan). Telah menghasilkan banyak penulisan dalam pelbagai bidang ilmu Islam.

Karya beliau yang termasyhur ialah al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu yang merangkumi semua bab Fiqh meliputi 9 jilid besar.Karya-karya beliau yang lain ialah;
1. Tafsir al-Munir
2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami
3. al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh
4. Qissah Quraniyyah
5. at-Tafsir al-Wajiz
Read more

SYEIKH MUHAMMAD AL-GHAZALI

Seorang ulama’ yang masyhur di Mesir dan seluruh dunia Islam hari ini. Dididik oleh al-Azhar sejak dari peringkat pengajian rendah hinggalah ke pengajian tinggi dan akhirnya muncul sebagai seorang ulama’ kelahiran al-Azhar yang berwibawa.

Kecintaannya pada al-Azhar amat mendalam. Kerana itu beliau sentiasa melazimi pakaian para ulama’ al-Azhar; berjubah dan berserban. Pernah suatu ketika beliau melawat ke satu negeri di Eropah. Semasa dalam keretapi, ada seorang menegur beliau; ‘Tidak bolehkah engkau menanggalkan serban dan jubah engkau dan engkau memakai kot sepertimana orang di sini biasa memakainya”.

Beliau menjawab; “Apa salahnya aku memakai pakaian yang biasa dipakai oleh ulama’-ulama’ al-Azhar. Jika seorang anggota tentera, anggota polis dan sebagainya berbangga dengan uniform tentera dan polisnya, maka aku juga berbangga dengan uniform al-Azharku (yakni berserban dan berjubah)”. Lahir tahun 1917. Semasa mudanya sempat berjumpa dengan Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna dan menjadi anak murid serta pengikut setia beliau hingga saat kematiannya kerana ditembak. Dalam satu tulisannya, Syeikh Muhammad al-Ghazali pernah menulis; “Imam Hasan al-Banna adalah mursyidku yang pertama”.

Pernah dalam satu wawancara oleh Radio Mesir secara lansung, beliau ditanya oleh juru-hebah; “Siapakah tokoh yang membentuk keperibadiannya?”. Syeikh Muhammad al-Ghazali menjawab; “Hasan al-Banna”. Terus ketika itu juga siaran secara lansung itu dihentikan gara-gara kerana nama Imam Hasan al-Banna disebut. Kerajaan Sekular Mesir amat memusuhi Imam Hasan al-Banna dan Ikhwan Muslimun. Kerana itu, nama beliau dilarang sama sekali disebut dalam radio mahupun televisyen. Syeikh Muhammad al-Ghazali menjadikan penulisan sebagai medan dakwah utama beliau di samping lisan. Beliau telah menulis lebih 50 buah buku di samping artikel-artikel yang disiarkan dalam majalah-majalah dan akhbar. Buku-buku tulisan beliau mendapat sambutan yang luar biasa umat Islam di seluruh terutama di kalangan Arab. Kesemua buku beliau menjadi best seller di Tanah Arab dan

Dunia Islam serta telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia termasuk bahasa Melayu. Antara buku tulisan beliau ialah;
1. Kaifa Nafham al-Islam
2. Al-Janib al-'Atifi Fil-Islam
3. 'Aqidatul-Muslim
4. As-Sunnah an-Nabawiyyah Baina Ahlil-Fiqhi Wa Ahlil-Hadith
5. Laisa Minal-Islam
6. Al-Islam Wa al-Istibdad as-Siyasi
7. Al-Islam Wa al-Audha' al-Iqtisadiyyah
8. Dustur Wihdah as-Saqafah Baina al-Muslimin
9. al-Haq al-Murr
10. Akhalaqul-Muslim

Syeikh Muhammad al-Ghazali meninggal pada tahun 1996 di Arab Saudi dan dikebumikan di perkuburan al-Baqi', tempat bersemadinya sahabat-sahabat Nabi r.a..
Read more

ASY-SYAHID SAYYID QUTB

Sayyid Qutb adalah nama yang tidak asing di kalangan umat Islam. Beliau tidak hanya dikenali sebagai tokoh gerakan Islam (Ikhwan Muslimun) tetapi juga sebagai cendekiawan dan penulis Islam yang hebat.Cukup membuktikan kehebatannya itu apabila sesiapa membaca tafsirnya Fi Zilalil Quran (di bawah naungan al-Quran). Selain itu, Sayyid Qutb juga menulis beberapa kitab yang lain yang mendapat sambutan hebat kaum muslimin sejak hayatnya hingga ke hari ini, antaranya Ma’alim Fi at-Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan), Nahwa Mujtama’ Islami (Ke Arah Masyarakat Islam), Hazaddin (Inilah Islam) dan sebagainya.Sayyid Qutb di lahirkan tahun 1906 di sebuah kampoug di Selatan Mesir. Sejak kecil beliau telah diasuh dengan semangat cintakan agama oleh kedua ibu-bapanya. Beliau dihantar untuk mempelajari agama dan menghafal al-Quran.

Didikan agama ketika kecil ini amat memberi bekas kepada As-Syahid hingga ke zaman dewasanya. Walaupun pengajian-pengajian yang dilalunya di peringkat dewasa tidak takhasus di bidang agama, tetapi penghayatan agamanya cukup tinggi. Jika tidak sudah pastinya beliau tidak akan mampu menulis kitab-kitab yang begitu hebat terutamanya Fi Zilalil Quran. Dalam hal ini pentarbiahan ikhwan juga banyak memberi sumbangan selain kesan didikan semasa kecil itu.

Sayyid Qutb mula berkecimpung dengan jamaah Ikhwan pada tahun 40an. Sejak awal pengllibatannya, beliau menjadi pendokong yang amat aktif. Beliau tidak rela hanya sekadar menjadi pemerhati atau penyokong sahaja. Kerana itu dengan segala kebolehan dan kepakaran yang ada padanya –iaitu dalam bidang penulisan dan kesusasteraan– beliau berusaha bersungguh untuk menyedarkan kaum muslimin supaya bersama-sama Ikhwan Muslimin untuk berjihad dan berjuang mengembalikan kedaulatan Islam di muka bumi ini. Pada tahun 1950, beliau mula menulis Fi Zilalil Quran, kitab tafsir yang amat disanjung itu. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan untuk menjadi pemimpin redaksi majalah rasmi Ihkwan iaitu “Ikhwanul Muslimin”,


Kegigihan Sayyid Qutb menimbulkan ancaman kepada Kerajaan Mesir ketika itu yang menganut fahaman Sosialisme, menyebabkan beliau ditangkap pada tahun 1954 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Di dalam penjara, beliau diseksa dengan amat kejam hingga menimbulkan radang paru-paru yang amat teruk. Kerana kesihatan yang amat buruk, beliau dibebaskan pada tahun 1964 iaitu setelah 10 tahun dalam penjara. Pemerintah Mesir berharap dengan kesihatan yang buruk itu, Said Qutb tidak akan bergerak aktif dengan Ikhwan selepas dikeluarkan dari penjara. Apatahlagi umurnya ketika itu telah melebihi 60 tahun. Namun sangkaan mereka meleset. Said Qutb bergerak lebih aktif selepas dibebaskan.

Tidak sampai setahun dibebaskan, Said Qutb ditangkap semula iaitu pada tahun 1965. Pada kali ini, tidak lagi hukuman penjara yang mengikuti beliau tetapi hukuman gantung. Said Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Tentera Mesir bersama dua lagi rakannya iaitu Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail. Tatkala mendengar hukuman ke atasnya dibaca, tidak ada tanda gelisah, takut mahupun rasa bersalah di wajahnya. Dengan tenang beliau berkata; “Al-Hamdulillah” kerana apa yang beliau idam-idamkan sekian lama telah dikabulkan Allah iaitulah mati sebagai seorang Syahid.


Read more

SYEIKH SA'ID HAWWA

Syeikh Sa’id Hawwa tidak asing lagi bagi para pencinta gerakan Islam. Beliau merupakan ulamak dan tokoh dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Nama penuh beliau ialah Sa’id bin Muhammad Daib Hawwa. Dilahirkan di kota Hamat, Syria pada tahun 1935. Penglibatan beliau dengan Ikhwan bermula sejak tahun 1952 iaitu ketika ia masih di Tahun Satu Sekolah Menengah. Pada tahun 1963 beliau tamat belajar di Universiti Syria. Di antara guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Hamid, Syeikh Muhammad al-Hasyimi, Syeikh Dr. Mustafa as-Siba’ie, Dr. Mustafa az-Zarqa dan ramai lagi.

Pada tahun 1973, beliau telah dipenjara selama lima tahun oleh pemerintah Syria (iaitu hingga tahun 1978) dan semasa dalam tempoh penjara itu beliau menulis tafsirnya yang terkenal iaitu Al-Asas fi at-Tafsir sebanyak 11 jilid. Syeikh Sa’id Hawa telah menghasilkan banyak karya penulisan yang menjadi rujukan kaum muslimin khususnya aktivis-aktivis Harakah Islamiyyah. Antara karya beliau ialah;
1. Allah Jalla Jalaluhu
2. Ar-Rasul
3. Al-Islam
4. Al-Asas Fi As-Sunnah (as-Seerah, al-‘Aqaid dan al-‘Ibadat)
5. Tarbiyatuna ar-Ruhiyah
6. Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan
7. Fi Afaqi at-Ta’alim
8. Fusul Fi al-Imrati Wa al-Amir
9. Hazihi Tajribati Hazihi Syahadati
10. Al-Mustakhlas Fi Tazkiyati al-Anfus

Antara sifat peribadi Syeikh S’aid Hawa yang menyebabkan beliau disegani kawan-rakan serta ulamak-ulamak sezaman dengannya ialah kezuhudan dan kewarakannya. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya tentang Sa’id Hawwa dalam harian al-Liwa’ yang diterbitkan di Jordan telah menceritakan; “….Saya pernah mengunjunginya di al-Ahsa’ ketika ia menjadi pengajar di al-Ma’had al-‘Ilmi. Saya tidak menemukan perabot di rumahnya kecuali sesuatu yang dapat memenuhi keperluan seorang yang hidup sederhana. Juga tidak saya temukan pakaian yang layak dipakai oleh ulama’ dan pengajar di negeri yang panas itu. Baju jubah yang dipakainya dari buatan Hamat yang kasar.

Saya terus mendesaknya hingga ia mahu memakai beberapa pakaian putih dan ‘aba’ah (baju luaran) yang layak bagi orang seperti dirinya, tetapi ia mensyaratkan agar tidak terlalu longgar. Sedangkan makanannya, tidak lebih baik dari pakaian dan perabot rumahnya. Termasuk dalam kategori ini adalah sikapnya yang ‘mudah’ kepada orang-orang yang menerbitkan buku-bukunya baik yang telah mendapatkan izinnya atau tidak. Buku-bukunya telah dicetak berulang-ulang -dengan cara halal dan haram-, tetapi saya tidak pernah mendengar ia mempersoalkan hal tersebut. Ini termasuk sebahagian dari zuhudnya. Sesungguhnya akhlaq dan toleransi Sa’id Hawwa ini merupakan kebanggan dan teladan bagi orang lain.

Inilah kesaksian yang dapat saya sampaikan.” (al-Liwa’, edisi 15/3/1989) Pada tahun 1987 M beliau diserang penyakit lumpuh di sebahagian badannya disamping penyakit-penyakit lainnya hingga terpaksa mengasingkan diri dari orang ramai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Pada hari Kamis tanggal 9 Mac 1989, Syeikh Sa’id Hawwa kembali ke rahmatullah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah menempatkan beliau di tempat yang tinggi di dalam syurgaNya bersama para Nabi, para Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.
Read more