RECENT POST

ASY-SYAHID SAYYID QUTB

Sayyid Qutb adalah nama yang tidak asing di kalangan umat Islam. Beliau tidak hanya dikenali sebagai tokoh gerakan Islam (Ikhwan Muslimun) tetapi juga sebagai cendekiawan dan penulis Islam yang hebat.Cukup membuktikan kehebatannya itu apabila sesiapa membaca tafsirnya Fi Zilalil Quran (di bawah naungan al-Quran). Selain itu, Sayyid Qutb juga menulis beberapa kitab yang lain yang mendapat sambutan hebat kaum muslimin sejak hayatnya hingga ke hari ini, antaranya Ma’alim Fi at-Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan), Nahwa Mujtama’ Islami (Ke Arah Masyarakat Islam), Hazaddin (Inilah Islam) dan sebagainya.Sayyid Qutb di lahirkan tahun 1906 di sebuah kampoug di Selatan Mesir. Sejak kecil beliau telah diasuh dengan semangat cintakan agama oleh kedua ibu-bapanya. Beliau dihantar untuk mempelajari agama dan menghafal al-Quran.

Didikan agama ketika kecil ini amat memberi bekas kepada As-Syahid hingga ke zaman dewasanya. Walaupun pengajian-pengajian yang dilalunya di peringkat dewasa tidak takhasus di bidang agama, tetapi penghayatan agamanya cukup tinggi. Jika tidak sudah pastinya beliau tidak akan mampu menulis kitab-kitab yang begitu hebat terutamanya Fi Zilalil Quran. Dalam hal ini pentarbiahan ikhwan juga banyak memberi sumbangan selain kesan didikan semasa kecil itu.

Sayyid Qutb mula berkecimpung dengan jamaah Ikhwan pada tahun 40an. Sejak awal pengllibatannya, beliau menjadi pendokong yang amat aktif. Beliau tidak rela hanya sekadar menjadi pemerhati atau penyokong sahaja. Kerana itu dengan segala kebolehan dan kepakaran yang ada padanya –iaitu dalam bidang penulisan dan kesusasteraan– beliau berusaha bersungguh untuk menyedarkan kaum muslimin supaya bersama-sama Ikhwan Muslimin untuk berjihad dan berjuang mengembalikan kedaulatan Islam di muka bumi ini. Pada tahun 1950, beliau mula menulis Fi Zilalil Quran, kitab tafsir yang amat disanjung itu. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan untuk menjadi pemimpin redaksi majalah rasmi Ihkwan iaitu “Ikhwanul Muslimin”,


Kegigihan Sayyid Qutb menimbulkan ancaman kepada Kerajaan Mesir ketika itu yang menganut fahaman Sosialisme, menyebabkan beliau ditangkap pada tahun 1954 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Di dalam penjara, beliau diseksa dengan amat kejam hingga menimbulkan radang paru-paru yang amat teruk. Kerana kesihatan yang amat buruk, beliau dibebaskan pada tahun 1964 iaitu setelah 10 tahun dalam penjara. Pemerintah Mesir berharap dengan kesihatan yang buruk itu, Said Qutb tidak akan bergerak aktif dengan Ikhwan selepas dikeluarkan dari penjara. Apatahlagi umurnya ketika itu telah melebihi 60 tahun. Namun sangkaan mereka meleset. Said Qutb bergerak lebih aktif selepas dibebaskan.

Tidak sampai setahun dibebaskan, Said Qutb ditangkap semula iaitu pada tahun 1965. Pada kali ini, tidak lagi hukuman penjara yang mengikuti beliau tetapi hukuman gantung. Said Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Tentera Mesir bersama dua lagi rakannya iaitu Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail. Tatkala mendengar hukuman ke atasnya dibaca, tidak ada tanda gelisah, takut mahupun rasa bersalah di wajahnya. Dengan tenang beliau berkata; “Al-Hamdulillah” kerana apa yang beliau idam-idamkan sekian lama telah dikabulkan Allah iaitulah mati sebagai seorang Syahid.


Read more

SYEIKH SA'ID HAWWA

Syeikh Sa’id Hawwa tidak asing lagi bagi para pencinta gerakan Islam. Beliau merupakan ulamak dan tokoh dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Nama penuh beliau ialah Sa’id bin Muhammad Daib Hawwa. Dilahirkan di kota Hamat, Syria pada tahun 1935. Penglibatan beliau dengan Ikhwan bermula sejak tahun 1952 iaitu ketika ia masih di Tahun Satu Sekolah Menengah. Pada tahun 1963 beliau tamat belajar di Universiti Syria. Di antara guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Hamid, Syeikh Muhammad al-Hasyimi, Syeikh Dr. Mustafa as-Siba’ie, Dr. Mustafa az-Zarqa dan ramai lagi.

Pada tahun 1973, beliau telah dipenjara selama lima tahun oleh pemerintah Syria (iaitu hingga tahun 1978) dan semasa dalam tempoh penjara itu beliau menulis tafsirnya yang terkenal iaitu Al-Asas fi at-Tafsir sebanyak 11 jilid. Syeikh Sa’id Hawa telah menghasilkan banyak karya penulisan yang menjadi rujukan kaum muslimin khususnya aktivis-aktivis Harakah Islamiyyah. Antara karya beliau ialah;
1. Allah Jalla Jalaluhu
2. Ar-Rasul
3. Al-Islam
4. Al-Asas Fi As-Sunnah (as-Seerah, al-‘Aqaid dan al-‘Ibadat)
5. Tarbiyatuna ar-Ruhiyah
6. Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan
7. Fi Afaqi at-Ta’alim
8. Fusul Fi al-Imrati Wa al-Amir
9. Hazihi Tajribati Hazihi Syahadati
10. Al-Mustakhlas Fi Tazkiyati al-Anfus

Antara sifat peribadi Syeikh S’aid Hawa yang menyebabkan beliau disegani kawan-rakan serta ulamak-ulamak sezaman dengannya ialah kezuhudan dan kewarakannya. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya tentang Sa’id Hawwa dalam harian al-Liwa’ yang diterbitkan di Jordan telah menceritakan; “….Saya pernah mengunjunginya di al-Ahsa’ ketika ia menjadi pengajar di al-Ma’had al-‘Ilmi. Saya tidak menemukan perabot di rumahnya kecuali sesuatu yang dapat memenuhi keperluan seorang yang hidup sederhana. Juga tidak saya temukan pakaian yang layak dipakai oleh ulama’ dan pengajar di negeri yang panas itu. Baju jubah yang dipakainya dari buatan Hamat yang kasar.

Saya terus mendesaknya hingga ia mahu memakai beberapa pakaian putih dan ‘aba’ah (baju luaran) yang layak bagi orang seperti dirinya, tetapi ia mensyaratkan agar tidak terlalu longgar. Sedangkan makanannya, tidak lebih baik dari pakaian dan perabot rumahnya. Termasuk dalam kategori ini adalah sikapnya yang ‘mudah’ kepada orang-orang yang menerbitkan buku-bukunya baik yang telah mendapatkan izinnya atau tidak. Buku-bukunya telah dicetak berulang-ulang -dengan cara halal dan haram-, tetapi saya tidak pernah mendengar ia mempersoalkan hal tersebut. Ini termasuk sebahagian dari zuhudnya. Sesungguhnya akhlaq dan toleransi Sa’id Hawwa ini merupakan kebanggan dan teladan bagi orang lain.

Inilah kesaksian yang dapat saya sampaikan.” (al-Liwa’, edisi 15/3/1989) Pada tahun 1987 M beliau diserang penyakit lumpuh di sebahagian badannya disamping penyakit-penyakit lainnya hingga terpaksa mengasingkan diri dari orang ramai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Pada hari Kamis tanggal 9 Mac 1989, Syeikh Sa’id Hawwa kembali ke rahmatullah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah menempatkan beliau di tempat yang tinggi di dalam syurgaNya bersama para Nabi, para Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.
Read more